PRESIDEN INSTITUT AL-QURAN MALAYSIA (IQRA')

PRESIDEN INSTITUT AL-QURAN MALAYSIA (IQRA')
DR MUHAMMAD ZAIN

Saturday, March 10, 2012

HAYATI ISLAM DAN KEDAMAIAN-NYA...

Mewujudkan Suasana Penghayatan Islam Dan Kedamaian Dalam Keluarga Islam telah meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatu tempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula dari rumah. Untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga maka aktiviti-aktiviti berikut adalah menjadi asas utama di dalam pembentukan rumahtangga. (a) Menghidupkan Sembahyang Berjemaah Dalam Islam, amalan yang paling pokok ialah sembahyang. Sembahyang boleh menjadi ukuran kepada seseorang sama ada ia seorang Islam yang sempurna atau pun tidak. Orang yang mengaku dirinya beragama Islam, tidak sempurna Islamnya jika ia tidak melakukan ibadat sembahyang. Sembahyang berjemaah di masjid atau surau dituntut oleh Islam. Kelebihannya sangat besar dan pahalanya 27 kali ganda daripada sembahyang berseorangan. Sembahyang jemaah dapat mewujudkan hubungan silaturrahim, melahirkan perhubungan kasih sayang dan semangat kekitaan dan dapat menghindarkan perasaan mementingkan diri sendiri. Oleh itu bagi orang yang tidak berhampiran atau berdekatan dengan masjid atau surau adalah disunatkan ke masjid atau surau bersama keluarga bagi menunaikan sembahyang jemaah. (b) Membaca al-Quran Bersama Di rumah Membaca al-Quran mempunyai pahala yang besar, amalan ini boleh mengukuhkan keimanan seseorang dan mendekatkan diri kepada Allah serta memberi ketenangan kepada hati. Firman Allah di dalam surah ar-Ra’d ayat 28: Maksudnya: '(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.' Menurut Tafsir Pimpinan ar-Rahman terbitan JAKIM, ‘zikrullah’ pada ayat ini maksudnya al-Quran al-Karim yang menjadi sebesar-besar mukjizat yang tidak ada tolok bandingnya. Nyatalah bahawa membaca al-Quran itu menjadi ibadat yang sangat berfaedah bagi seseorang muslim yang patut dilakukan pada setiap hari sama ada di waktu pagi, petang ataupun malam. (c) Membaca Buku Agama Di Rumah Beramai-ramai Satu lagi amalan dalam rumahtangga yang bahagia ialah mengumpulkan keluarga sekurang-kurangnya satu kali dalam seminggu untuk membaca buku agama. Buku agama ini boleh dipilih dari buku-buku yang terkenal dalam berbagai bidang seperti sejarah Islam, sejarah ulama’ dan pemikiran Islam, asas-asas fardhu ain, ilmu tauhid, akhlak dan lain-lain. Dengan cara membaca buku agama, secara tidak langsung boleh menambah dan meluaskan ilmu pengetahuan ahli keluarga. Melalui amalan membaca buku di rumah ini juga dapat melatih ahli keluarga khususnya anak-anak yang dalam proses pembelajaran untuk meningkatkan pengetahuan mereka. Dalam hubungan ini kaedah yang boleh digunakan ialah membaca bergilir-gilir di antara ibu, bapa dan anak. (d) Makan Bersama Sekeluarga Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat mewujudkan tradisi makan bersama-sama sekurang-kurangnya sekali seminggu iaitu pada cuti hujung minggu. Malam adalah waktu yang agak sesuai untuk menghadapi makanan secara bersama keluarga kerana semua ahli keluarga di waktu itu telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing di dalam bidang pekerjaan dan pelajaran. Makan bersama keluarga boleh mengeratkan lagi rasa kasih sayang antara anggota keluarga. (e) Memberi Salam Semasa Masuk Atau Meninggalkan Rumah Keluarga bahagia pulang ke rumah dengan keadaan gembira. Apabila samapai ke pintu rumah mereka akan menyampaikan salam dan anggota di dalamnya menjawab salam tersebut dengan jelas. Demikianlah juga apabila mereka meninggalkan rumah untuk pergi bekerja atau ke sekolah. Amalan ini wajar dihayati sebagai amalan harian kerana ia boleh membuatkan hubungan di kalangan semua anggota keluarga terus mesra dan kukuh. (f) Minta Keizinan Masuk Bilik Setiap ibu bapa perlulah melatih anak-anak meminta izin atau kebenaran sebelum mereka masuk ke bilik tidur ibu bapa. Dalam hal ini Allah S.W.T. telah memberi panduan melalui firman-Nya dalam surah an-Nur ayat 58: Maksudnya: 'Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu) dalam tiga masa, (iaitu) sebelum sembahyang Subuh dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isya’; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kemudian mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-NYA (yang menjelaskan hukum-hukum-NYA); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana.' (An-Nur : 58) wallahua'lam-

No comments:

Post a Comment