PRESIDEN INSTITUT AL-QURAN MALAYSIA (IQRA')

PRESIDEN INSTITUT AL-QURAN MALAYSIA (IQRA')
DR MUHAMMAD ZAIN

Monday, March 5, 2012

USAH GUSAR PADA KIAMAT 2012...

USAH GUSAR PADA KIAMAT 2012…INGAT KIAMAT DIRI ITU !!! Oleh DR MUHAMMAD ZAIN Presiden Institut Al-Quran Malaysia (Iqra’) -------------------------------------------------------------------------------------------- Salam Mujahadah.. وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ MASIH ingatkah andaian Kiamat 2012 ? Tahun ini kan ??... Namun usah digusarkan “Kiamat Besar” kerana ia tetap akan berlaku mengikut ketentuanNya. Seharusnya, kita mengambil ikhtibar dari kedatangan “Kiamat Besar” itu kerana diri kita sebenarnya boleh “kiamat” bila-bila masa sahaja. Tidak perlu tunggu sehingga “Kiamat Besar” berlaku.. . “Kiamat diri” boleh datang bila-bila masa sahaja sebaik sahaja kaki kanan kita melangkah keluar pintu bungalow, rumah teres, rumah pangsa, pangsapuri, kondominium ataupun masjid dan surau. Maut sentiasa menunggu saat dan waktunya untuk mencabut nyawa kita...Innalillahi wainnalillahi rajiuun. Dengan mengingati mati, ini akan mencegah manusia daripada bergelumang dengan maksiat dan kemungkaran. Sesungguh nya tiada nasihat terbaik selain pemutus segala kelazatan iaitu ajal yang sedang menanti. “Ya Latif ultufbina Ya Allah La aqwa a’lannaril jahim Irhamna Ya Allah Ya Arhamarrahimin”. Firman Allah: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan kesyurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya. “Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali Imran: 185) Andainya telah ditakdirkan hidup kita setakat disini sahaja, maka akan tetap ditamatkan riwayat hidup kita di alam yang fana ini. Tidak akan ada penangguhan, perlengahan atau persekongkolan kerana sakaratul maut akan menarik roh keluar dari jasad tepat pada waktunya, tanpa bicara. Tentang pelbagai petanda yang menunjukkan bahawa Kiamat 2012 berkemungkinan berlaku pada penghujung tahun ini, harus kita mengambil ikhtibar dari segala peristiwa yang telah terjadi di tanahair kita dan juga di serata dunia, agar kita muhasabah diri kita menjadi insan yang soleh dan solehin. Usah digusarkan hati dan fikiran kita berkenaan Kiamat 2012 kalau diri kita sendiri belum mempunyai bekalan yang cukup untuk menghadapi hari akhirat kelak. Harus difikirkan diri itu dahulu kerana apa yang kita lakukan di dunia ini akan dihisab untuk menentukan haluan kita seterusnya samaada ke syurga ataupun ke neraka jahanam. Nabi Muhammad SAW telah bersabda: "Barang siapa yg mengingatkan ini kepada orang lain, akan Ku buatkan tempat di Syurga baginya pada hari penghakiman kelak." Jangan percaya bahawa Kiamat 2012 akan berlaku tahun ini kerana menurut al-Quranul karim petanda-petanda kedatangannya adalah - Kemunculan Imam Mahdi - Kemunculan Dajjal - Keturunan Hazrat Isa (AS) - Kemunculan Yakjuj Dan Makjuj - Terbitnya matahari dari Barat ke Timur - Pintu pengampunan akan ditutup - Dab'bat al-Ard akan keluar dari tanah & akan menandai muslim yang sebenar2nya - Kabus selama 40 Hari akan mematikan semua orang beriman sejati shj mereka tidak perlu mengalami tanda2 kiamat lainnya - Sebuah kebakaran besar akan menyebabkan kerusakan, - Pemusnahan Kabah, - Tulisan dalam Al-Quran akan lenyap, - Sangkakala akan ditiup pertama kalinya binatang2 & org2 kafir yang tersisa akan mati, semua gunung & bangunan akan runtuh. Tiupan sangkakala yang kedua kalinya akan membangkitkan semua ciptaan Allah & bertemu di dataran Arafah menuju saat penghakiman mereka dan Matahari akan mendekatkan dirinya ke bumi. Dan mereka (yang ingkar) berkata: “Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar? Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata. “Kemudian apabila (datang kiamat dan) mereka melihat (azab) yang dijanjikan itu secara dekat, muramlah muka orang-orang yang kafir itu, serta dikatakan (kepada mereka): Inilah dia yang dahulu kamu kerap kali minta disegerakan kedatangannya!.” Tanyalah (wahai Muhammad, kepada mereka): “Bagaimana fikiran kamu, jika Allah binasakan daku dan orang-orang yang bersama-sama denganku (sebagaimana yang kamu harap-harapkan) atau Dia memberi rahmat kepada kami (sehingga kami dapat mengalahkan kamu), maka siapakah yang dapat melindungi orang-orang yang kafir dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?” Tegaskan (wahai Muhammad, kepada mereka): “Allah SWT.. Dialah Yang Maha Pemurah, yang kami beriman kepadaNya dan yang kepadaNya kami berserah diri; oleh itu kamu akan mengetahui kelak siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata.” Imam al-Suyuti dalam kitabnya Sharh al-Sudur bi Sharh hal al-Mawta wa al-Qubur menukilkan kata sahabat Nabi Abu Darda' R.A tentang ajal kematian: "Aku tahu ajal itu pasti datang, maka aku selalu bersiap-siap menantinya. Peringatan yang memberi kesan dan suatu yang diabaikan yang segera datang, memadailah kematian sebagai pemberi peringatan dan memadailah masa (umur) sebagai pemutus. Hari ini di dalam bilik, esok di dalam kubur.” Oleh yang demikian, umat Islam perlu mengambil ikhtibar dari ayat-ayat al-Quranul karim yang menasihati kita agar jangan taksub pada keduniaan akan tetapi berusaha untuk mengapai akhirat melalui amalan-amalannya ketika masih lagi berada di dunia ini. Bila maut datang menjemput, maka terputuslah amalan kita kecuali tiga perkara iaitu ilmu yang ditinggalkan yang terus dimanfaati, anak-anak yang soleh yang mendoakan kesejahteraan kedua orang tuanya dan amal jariah yang dilakukan ketika hayat seorang muslim itu. Maka itu, jadilah orang baik-baik. Dirikan solat fardu dan rawatib setiap hari, bersangka baik selalu, elak berkata-kata, ketawa berdekah-dekah, lakukan amal jariah dan curahkan kasih sayang sesama insan serta jagalah penampilan sebagai seorang muslimin dan muslimat. Bukan sukar malah mudah melakukannya bila kita solat fardu lima waktu dengan khusuk dan tawaduk kerana Allah SWT. Mulakan dengan Solat… Orang beriman mudah dilihat pada wajahnya yang berseri seri dan mudah tersenyum, penyabar dan kerap menerima ujian Allah SWT dengan redha. Maka Allah mencukupkan masa baginya dalam urusan dunia dan akhirat. Tetapi tidak kepada orang orang yang sentiasa mengejar hawa nafsu dunia semata mata kerana harta duniawi. Allah SWT berfirman : "Jika engkau lebih mengejar duniawi daripada mengejar dekat denganKu maka Aku berikan, tapi Aku akan menjauhkan kalian dari SyurgaKu". “Ketahuilah oleh kalian, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah PERMAINAN dan sesuatu yang MELALAIKAN, perhiasan dan BERMEGAH-MEGAH di antara kalian serta berbangga-banggaan dengan banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang kerananya tumbuh tanam-tanaman yang membuat kagum para petani, kemudian tanaman itu menjadi KERING dan kamu lihat warnanya kuning lantas menjadi hancur. “Dan di akhirat nanti ada AZAB yang KERAS dan AMPUNAN dari Allah serta keredhanNya. Dan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah KESENANGAN yang MENIPU.” (Surah Al-Hadid: 20) “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka gembira dan beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.." (Surah Al-’Ankabut 29:69) Mereka yang sentiasa tiada kesempatan waktu dan kerap dilalaikan atas urusan dunia tanpa ada sebarang waktu untuk sujud pada Allah SWT akan menghadapi ketentuanNya. Kerana itulah ramai penghuni neraka ini tidak sempat bertaubat..Ini dijelaskan oleh Malaikat Malik semasa Rasullulah SAW bertanya siapakah penghuninya di Neraka Jahanam dilapisan yang ke 7. Maka Malaikat Malik menjawap: “Umatmu ya Nabi Allah, yang banyak membuat dosa besar. “ Ingatlah.. adakah kita sebahagian dari penghuni tersebut ? Nauzubillah min zalik. ENDS

1 comment:

  1. ayat ini Allah SWT berfirman : "Jika engkau lebih mengejar duniawi daripada mengejar dekat denganKu maka Aku berikan, tapi Aku akan menjauhkan kalian dari SyurgaKu". dari surah apa? ayat ke berapa?

    ReplyDelete