PRESIDEN INSTITUT AL-QURAN MALAYSIA (IQRA')

PRESIDEN INSTITUT AL-QURAN MALAYSIA (IQRA')
DR MUHAMMAD ZAIN

Wednesday, January 18, 2012

SATU USAHA DAKWAH YANG TERULUNG...

SATU PELUANG KEEMASAN BAGI SESIAPA YANG INGIN TURUT SERTA DALAM SATU USAHA DAKWAH YANG TERULUNG... TAJUK: KITA SEMUA ADALAH PENDAKWAH TIDAK kira siapa kita dan apa yang kita buat, asalkan ianya perkara baik, jikalau niat atau nawaitu kita semasa melakukan perkara itu adalah semata-mata kerana Allah SWT, maka itu sudah dikira ibadat. Sama juga ertinya jika kita mengajak seseorang itu supaya bersolat misalnya, mendorong mereka kepada kebajikan dan kebaikan serta mencegah dari kejahatan; maka itu dikira dakwah. Bukankah berdakwah itu juga ibadat? Berdakwah pada asasnya adalah melaksanakan "Amal Ma'aruf, Nahi Mungkar" iaitu menyeru kepada manusia untuk melakukan kebaikan dan mencegah sebarang kemungkaran daripada berlaku. Inilah pengertian dakwah. Usaha fisabilillah ini boleh dilakukan samaada secara lisan, melalui pengajaran atau ceramah, dan juga melalui contoh atau perbuatan seperti yang dipernah dilakukan oleh Nabi Muhammad saw ketika di zaman Jahiliah dahulu. Ia adalah tugas dan tanggungjawab setiap orang yang mengaku dirinya Islam. Maka itu, setiap Muslim adalah pendakwah dalam cara dan perlaksanaannya sendiri asalkan niat sebenarnya adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah swt. Memberitahu dan menunjukkan kepada perkara baik, ingat mengingati diantara satu sama lain dalam kehidupan seharian, walaupun sepotong ayat, itu sudah dikira berdakwah. Berdakwah adalah tugas seseorang mengajak secara ikhlas, seseorang yang lain kepada melaksanakan suruhan Allah SWT. Samaada kita berdakwah sepenuh masa atau sekadar memberitahu kepada perkara baik, ingat mengingati di antara satu sama lain, itu sudah dikira berdakwah. Untuk berdakwah tidak perlu ada kumpulan sasar kerana usaha mulia ini merangkumi semua manusia yang sememangnya mempunyai sifat-sifat mazmumah. Pendakwah tidak punya musuh kerana dia tidak memaksa sesiapapun untuk menerima mukadimahnya atau melakukan apa-apa yang disuruh. Berdakwah dengan menunjukkan contoh adalah kaedah terbaik sepertimana dilakukan oleh Rasulullah SAW. Ini adalah kerana tidak ada paksaan bagi sesiapapun mengikuti atau mengamalkan ajaran Islam sekiranya hati mereka tidak ikhlas untuk berbuat demikian. Dalam Islam, segala yang dilakukan harus dengan niat yang ikhlas dan tawaduk untuk mendapat keredhaanNya dan bukan kerana disuruh atau dipaksa. Tidak ada paksaan dalam Islam. Dalam hal ini, seseorang pendakwah berpegang teguh pada sunnah Nabi SAW dan sentiasa memberi peringatan kepada sesiapa yang sudi mendengar, agar kembali kepada asas ajaran Islam yang sebenar terutama dalam menunaikan amal ibadat dan teguh dalam amalan mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Tidak ada unsur-unsur paksaan bagi sesiapa mengikuti ataupun akur pada apa yang disarankan oleh para pendakwah kerana itu bukanlah tugasnya kerana itu adalah ketentuan Allah SWT yang akan memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Melalui ceramah, forum atau majlis-majlis ilmu, sebarang bentuk nasihat atau teladan yang ditonjolkan oleh para pendakwah samaada secara individu atau berkumpulan dapat menimbulkan kesedaran dan keinsafan di hati golongan yang disasarkan itu; apatah lagi bila mereka ini sebahagian besar terdiri daripada orang Islam pada namanya sahaja atau lebih dikenali dengan istilah "Islam kulit". Maka itu, adalah digalakkan setiap Muslim memulakan langkah pertama, bermula dengan diri sendiri, mengajak ahli terdekat dalam keluarga, kaum kerabat, sahabat handai dan jiran tetangga, agar berkunjung ke masjid untuk bersolat jemaah; kerana ini adalah satu permulaan dakwah yang sangat-sangat disukai oleh Allah SWT. Dalam hal sedemikian, usaha untuk mengalakkan umat Islam mengunjungi masjid adalah satu tugas penting bagi para pendakwah bagi menghangatkan proses pengimarahan masjid yang pada masa ini, nampak lengang dan tidak begitu bermaya. Kadang-kadang, untuk memenuhi satu saf ketika solat fardu di masjid, pun susah kerana tidak ramai yang hadir ke masjid untuk solat secara berjemaah. Ramai dikalangan masyarakat kita lebih gemar solat bersendirian atau di surau tempat mereka bekerja, itupun ramai yang solat secara bersendirian dan tidak secara berjemaah. Walhal bukan mereka tidak tahu ganjaran pahala bagi solat berjemaah adalah 27 kali gandanya dari solat bersendirian. Masjid bagi mereka bukan satu tempat istimewa; kecuali sebagai tempat solat semata-mata, itu pun bagi mereka yang ingin solat di masjid. Masjid tidak dianggap sebagai “one stop center” tapi lebih kepada “last stop center” bagi orang-orang di hujung usia! Ramai yang tidak faham bahawa tanggung-jawab seseorang Muslim adalah untuk mengimarahkan masjid dengan mendirikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid. Namun begitu, tiada usaha kukuh untuk menerangkan dan menggalakkan masyarakat Islam setempat untuk melaksanakan aspek penting ini. Pihak masjid juga tidak giat untuk melakukan sesuatu bagi menerangkan kepada ahli kariah setempat tentang perkara penting ini. Tidak ada tindakan pro-aktif untuk menyelesaikan persoalan ini yang telah berterusan selama berdekad yang lalu. Kenapa pihak masjid tidak menerangkan kepada para jemaahnya ketika khutbah Juma'at perihal betapa pentingnya mengimarahkan masjid dihari-hari biasa selain dari hari Juma'at? Kenapa tidak diadakan sesi ceramah, forum atau majlis ilmu untuk menerangkan serta menyebarkan maklumat tentang perlunya orang Islam pergi ke masjid; betapa pentingnya solat fardu lima waktu berjemaah dan tanggungjawab mereka untuk mengimarahkan masjid di tempat mereka sendiri? Bukankah masjid itu tempat berdakwah? Sudah berdekad berlalu, keadaan masih begitu juga. Tidak ada tindakan dari mana-mana pihak untuk mengubah keadaan ini. Situasi ini terus berlarutan menyebabkan masjid menjadi sekadar lambang keIslaman tanpa benar-benar mencapai hasrat murninya untuk menjadi pusat menjana insan bertaqwa, yang akan menjadi barisan pelapis umat Islam seluruhnya. Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan seseorang yang berdakwah ke jalanNya, akan mendapat balasan setimpal dengan usahanya seperti firmanNya yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang yang beruntung.” (Surah Ali-Imran:104) Maka terpanggillah seorang hamba Allah bernama Dr Muhammad Zain, presiden Institut Al-Quran Malaysia (IQRA') untuk membuat sesuatu bagi merungkai persoalan ini dengan meninjau masjid-masjid di seluruh negara; melihat keadaan setempat, meneliti segala kekurangan dan mengenalpasti isu-isu berbangkit. Berdasarkan pengetahuan dan pengalamannya, beliau telah membuat beberapa rumusan untuk menangani gejala yang melanda masjid kita itu. Penelitian, pengalaman dan saranan beliau telah dicatatkan dalam satu manuskrip setebal 223 muka surat, yang kini diterbitkan untuk manfaat mereka yang sayang pada rumah Allah SWT ini. Perkara-perkara yang dikemukakan beliau berdasarkan apa yang nyata berlaku di depan mata dan menjadi pengetahuan umum, namun disebabkan ketidakperihatinan masyarakat setempat, perkara-perkara itu tidak diambil peduli dan dibiarkan berterusan tanpa penyelesaian sehingga kini, menjadi satu kemelut. Insyallah, saranan beliau sekiranya dilaksanakan dengan sebaiknya oleh pentadbir masjid dan ahli jawatankuasanya dengan disertai oleh ahli-ahli kariah di tempat itu, dengan penuh keikhlasan dan atas semangat fisabilillah kerana Allah SWT, akan dapat menghangatkan lagi proses “pengimarahan masjid” hari ini. Edisi khas ini diterbitkan untuk ahli-ahli kariah Surau An-Nur U9 Sunway Kayangan, Shah Alam, SELANGOR, sebagai satu cenderahati sempena pembukaan surau yang berbentuk moden yang bernilai hampir RM1.5 juta yang telah dikoordinasikan pembinaannya oleh Dr Muhammad melalui sumbangan orang ramai. Pembinaan surau ini telah mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan ekoran dari pelbagai cabaran bagi mengumpul dana yang mencukupi bagi pembinaannya keseluruhannya, termasuk hiasan dalamannya yang cantik dan lanskapnya yang begitu menawan. Saranan-saranan yang terkandung dalam Edisi Khas ini sedang dan akan terus digunapakai di surau ini sebagai satu model implementasi. Bagi membolehkan orang ramai bersama-sama menyertai usaha dakwah yang terulung ini bagi memartabatkan masjid-masjid kita diseluruh negara agar menjadi tunjang bagi menjana insan muttaqin, maka Edisi Khas ini bakal diulang cetak buat kali kedua padaag bulan Mac 2012 untuk disebarkan ke setiap masjid diseluruh tanah air kita. Umat Islam yang ingin menyertai usaha Fisabillillah ini boleh membuat amal jariah dengan membeli seberapa banyak naskah buku ini untuk disumbangkan ke masjid atau surau di kariah masing-masing. Saranan-saranan yang terkandung didalam buku ini, jika dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan atas semangat fisabilillah bagi meraih keredhaanNya, akan dapat menghangatkan proses pengimarahan masjid-masjid kita. Semoga segala usaha murni kita adalah satu jihad kepadaNya, Insyallah. Buku ini boleh ditempah dari Institut Al-Quran Malaysia (IQRA') yang beribu-pejabat di Bandar Tun Hussein Onn, di Cheras, Selangor; melalui Emel: ahmadsuffian11@yahoo.com.my atau SMS ke 010-4298828. ENDS Gambar 1: SATU USAHA DAKWAH YANG TERULUNG...Kulit muka buku "SEJADAH" oleh Dr Muhammad Zain Gambar 2: Mufti Kelantan Datuk Muhammad Syukri (kanan) bersama penulis, Dr Muhammad Zain. Gambar 3: Surau An-Nur U9 di Sunway Kayangan, Selangor. Gambar 4: Mufti Selangor Datuk Mohamad Tamyes (kanan) bersama penulis, Dr Muhammad Zain Gambar 5:

No comments:

Post a Comment